PERKESO mula perkenal rawatan percuma kepada pencarum

Iklan
Subahan (tengah), Mohammed Azman dan Nanthakumar bergambar bersama pekerja Westports Malaysia ketika sesi 'Walkabout' Program Pekerja Selamat dan Sihat.

PELABUHAN KLANG - Semua pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mengalami kemalangan semasa bekerja boleh mendapatkan rawatan tanpa mendahulukan wang sendiri di 1,448 klinik panel yang berdaftar berkuat kuasa pada Selasa.

Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, langkah itu sebahagian daripada inisiatif program Rawatan Bencana Kerja (RBK) bagi meringankan beban pencarum yang mengalami kemalangan di tempat kerja.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pekerja hanya perlu menunjukkan kad pengenalan dan mengesahkan status mereka sebagai pekerja yang dilindungi di bawah PERKESO untuk menerima rawatan asas secara percuma.

"Klinik tersebut akan menuntut bayaran secara langsung daripada PERKESO tanpa perlu pekerja mengeluarkan sebarang kos," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program turun padang Pekerja Selamat dan Sihat di Westports Malaysia Sdn Bhd pada Selasa.

Iklan

Subahan (tengah) bersama Mohammed Azman (kanan) dan Nanthakumar (kiri) pada sidang akhbar.


Beliau menjelaskan, langkah itu diambil bagi meringankan beban pekerja dan memastikan mereka mendapat rawatan segera tanpa halangan kewangan.

Subahan berkata, pemerkasaan proses itu terpakai untuk faedah perubatan buat pencarum di bawah Skim Bencana Kerja mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Iklan

"Jenis kecederaan yang ditanggung di bawah program ini melibatkan rawatan kecemasan untuk pekerja ditimpa kemalangan di tempat kerja sahaja, selain rawatan klinikal, konsultasi, rujukan dan pemeriksaan imbasan X," jelas beliau.

Dalam pada itu, Subahan mendedahkan sebanyak 86,529 kes kemalangan dilaporkan kepada PERKESO, namun hanya 66,574 kes disahkan sebagai bencana kerja sepanjang tahun lalu.

Beliau menjelaskan, selebihnya, iaitu 19,955 kes dikategorikan sebagai bukan bencana kerja yang tidak mendapat sebarang manfaat perlindungan oleh PERKESO menerusi Peruntukan Akta 4 sedia ada.

Beliau berkata, berdasarkan statistik terkini, kematian akibat kemalangan jalan raya menunjukkan purata setiap 18 orang meninggal dunia setiap hari akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara.

"Lebih membimbangkan, 80 peratus daripada kematian tersebut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

"Ini adalah angka yang sangat membimbangkan jika kita kira dalam setahun, jumlah kematian ini terlalu tinggi.

"Kita perlu mengambil langkah serius untuk mengurangkan angka ini terutama yang melibatkan pengguna motosikal,” ujar Subahan.

Mengulas mengenai program itu, Subahan berkata, program yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengurus Besar Westports, M Nanthakumar itu melibatkan seramai 700 pekerja.

"Penyediaan program RBK melalui SEHATi (Program Saringan Kesihatan) membolehkan klinik panel PERKESO menyemak kelayakan dan memberi rawatan lanjut kepada pencarum bagi kecederaan berpunca daripada kemalangan di tempat kerja.

"Pencarum berupaya menyemak sendiri kelayakan menerusi SEHATi yang boleh diakses secara dalam talian, selain mendapatkan senarai klinik panel perkeso dan membuat janji temu untuk rawatan susulan," tambah beliau.