Dewan Rakyat: Kemalangan maut libatkan lori, tuntutan insurans tumpuan hari ini

Iklan
Dewan Rakyat hari ini bahas isu kemalangan lori, insurans perubatan dan keselamatan kanak-kanak di taska - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan lori, isu penyakit kerap dituntut dalam insurans perubatan dan trend kematian kanak-kanak di pusat asuhan antara tumpuan utama Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) akan mengemukakan soalan berkaitan tindakan tegas yang diambil Kementerian Pengangkutan dalam usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat.

Iklan
Iklan

Soalan berhubung senarai 10 jenis penyakit paling kerap dituntut dalam insurans perubatan oleh rakyat Malaysia serta perbezaan caj hospital swasta pula akan diajukan oleh Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) kepada Menteri Kewangan.

Pada sesi sama, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) akan mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkenaan perubahan suhu Cameron Highlands dalam tempoh 10 tahun serta statistik jumlah kes kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Iklan

Persoalan mengenai usaha Kementerian Pendidikan Tinggi meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti, terumatanya bagi memperoleh pekerjaan dalam bidang yang relevan dengan kelulusan mereka dijadualkan diajukan P Prabakaran (PH-Batu).

Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai trend dan jumlah kes kematian kanak-kanak di pusat asuhan serta pandangan kementerian berhubung insiden bayi empat bulan yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah taska, Januari lepas.

Iklan

Usai sesi berkenaan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dijadualkan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024 dan RUU Majlis Media Malaysia 2024, diikuti RUU Kumpulan Wang Yayasan Tunku Abdul Rahman (Pindaan) 2025 oleh Menteri Perpaduan Negara. - Bernama