Diskaun caj pesakit, hospital swasta bakal terkeluar senarai panel insurans

Iklan
Beberapa hospital swasta berisiko dikeluarkan sebagai panel syarikat insurans tertentu dalam masa terdekat. Gambar hiasan

SHAH ALAM – Beberapa hospital swasta berisiko dikeluarkan sebagai panel syarikat insurans tertentu dalam masa terdekat, dedah Persatuan Hospital-Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Menurut APHM, ia susulan kegagalan hospital terlibat memenuhi permintaan syarikat insurans untuk memberikan diskaun terlalu tinggi terhadap caj pesakit.

Iklan
Iklan

"Keputusan berkenaan dibuat susulan permintaan syarikat insurans tertentu yang meminta pihak hospital swasta memberikan diskaun berlebihan terhadap bil pesakit.

"Justeru, APHM menyarankan pesakit supaya membuat pengesahan dengan penyedia insurans mereka mengenai status hospital yang akan terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Bagaimanapun, APHM memberi jaminan bahawa semua pesakit tetap boleh mendapatkan rawatan di hospital yang bukan lagi panel, namun pesakit perlu membayar dahulu dan membuat tuntutan sendiri.

Kenyataan media APHM mengenai risiko hospital swasta dikeluarkan daripada senarai panel insurans.

Iklan

Ini kerana jelasnya, hospital swasta yang tidak lagi berada dalam senarai panel insurans tidak akan menerima kemudahan tanpa tunai atau surat jaminan daripada syarikat insurans.

"Hospital swasta telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengawal perbelanjaan rawatan terutamanya selepas pandemik Covid-19 bagi menangani inflasi kos perubatan yang semakin meningkat.

"Walaupun hospital swasta sering menawarkan diskaun yang munasabah, namun mereka memberi amaran bahawa permintaan diskaun berlebihan boleh menjejaskan kualiti penjagaan pesakit," katanya.

Menurutnya, APHM juga berusaha meminimumkan kelewatan rawatan dengan menawarkan teknologi perubatan terkini dan perkhidmatan bertaraf global.

"Dalam usaha untuk menangani masalah inflasi perubatan, APHM kini terlibat dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Bank Negara Malaysia, dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara untuk mencari penyelesaian yang telus dan berkesan.

"Keutamaan mereka tetap kepada kesejahteraan pesakit dan sokongan terhadap perkembangan sistem penjagaan kesihatan negara," katanya.