Bakal PM seorang teknokrat, kenyataan Syahir cetus persoalan - Najwan

Iklan
Najwan Halimi.

SHAH ALAM - Kenyataan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman mengenai keperluan seorang teknokrat dilantik sebagai Perdana Menteri ke-11 didakwa menggambarkan ketidakyakinan terhadap Presiden parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, tindakan Mohd Syahir yang tidak menamakan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai calon utama untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan persoalan.

Iklan
Iklan

"Peliknya tatkala membaca kenyataan Syahir yang panjang berjela, saya menjangkakan beliau akan menamakan Presiden Pas sebagai calon yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri ke-11. Ternyata jangkaan saya salah.

"Syahir sebaliknya bersilat kata dengan mengatakan beliau cenderung melihat seorang teknokrat untuk menjadi Perdana Menteri ke-11. Aneh bukan?" katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Syahir yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok, membuat kenyataan bahawa seorang teknokrat adalah alternatif terbaik untuk menggantikan Perdana Menteri ke-10.

Beliau turut menekankan ciri-ciri yang diperlukan termasuklah integriti, kompetensi dan kredibiliti seperti Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.

Iklan

Kenyataan itu bagi mengulas pendapat bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Mohamad Nazri Aziz yang memberi sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-11 atas faktor ketiadaan pengganti setanding dalam parti lain termasuk UMNO.

Najwan yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shah Alam mendakwa, parti lain dilihat lebih yakin dengan pemimpin masing-masing jika hendak dibandingkan dengan Pas.

Menurutnya, meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan parti kecil dalam Perikatan Nasional (PN), mereka tetap yakin menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

"Saya dan rakan-rakan pimpinan dalam PKR pun jika ditanya akan menjawab dengan penuh yakin dan tanpa ragu bahawa Anwar calon paling layak menjadi Perdana Menteri.

"Sebagai pemimpin Pas dan orang kanan Presiden Pas, Syahir seharusnya memiliki keyakinan terhadap kemampuan Abdul Hadi," ujarnya.