IPOH - Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal dipercayai penghantar makanan yang menyamun rantai tangan milik wanita warga emas dalam kejadian di Bandar Seri Botani di sini pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, laporan kejadian itu diterima polis sekitar jam 1.35 petang.
"Siasatan polis mendapati mangsa berusia 62 tahun telah dipukul dan diragut rantai tangan emas oleh suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha EZ115.
"Dalam kejadian itu, mangsa kerugian sekitar RM3,000 selain mengalami luka serta lebam di bahagian lengan, dahi dan lutut," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Nur Nazihah di talian 019-6363536 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu tular video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah rumah menunjukkan suspek bertindak menendang mangsa yang berada dalam sebuah kereta jenis Perodua Kenari sebelum melarikan barang kemas terbabit.