TUMPAT - Kerajaan Kelantan akan menubuhkan Majlis Pembangunan Halal bagi membangunkan industri halal pada tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud.
Beliau berkata, satu jawatankuasa khusus akan dibentuk untuk penubuhan Majlis Pembangunan Halal itu dan diselaraskan bersama Majlis Pembangunan Halal Persekutuan serta bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyebarluaskan Pensijilan Halal di seluruh negeri.
Iklan
Iklan
"Kelantan sendiri sudah ada tapak halal (Hab Halal) di Pasir Mas dan boleh dikembangkan untuk pemain industri bagi menarik pelaburan halal yang lain.
"Pembangunan halal ini penting bagi memberi keyakinan kepada masyarakat khususnya orang Islam terhadap sesuatu produk yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Halal kepada usahawan Nasi Berlauk Kak Chik di Kampung Berangan, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, pihaknya akan memberi keprihatinan yang tinggi dan cakna dalam isu halal kerana ramai usahawan di negeri ini mempunyai potensi untuk membawa produk mereka ke peringkat antarabangsa.
"Pembangunan bersama Islam dalam aspek pengurusan halal di Kelantan akan seiring dengan pembangunan halal peringkat nasional," katanya. - Bernama