SHAH ALAM - Institut Memandu Kecemerlangan Latihan (IMKL) mengadakan kunjungan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf yang juga rakan gabungannya dalam usaha mengenali dan memahami struktur pengurusan operasi syarikat itu dengan lebih mendalam.
Pengurus operasi IMKL, Norhannah Mohd Safian berkata, walaupun bidang operasi kedua syarikat itu berbeza, namun pihaknya teruja dapat mempelajari perkara baharu dalam lawatan berkenaan.
"Bidang kami dengan Karangkraf sangat berbeza, jadi bila dapat lihat sendiri cara kerja di sini, tak dinafikan memang sangat teruja, kerana ia sesuatu yang baharu serta banyak perkara dapat dipelajari.
"Jika berkenaan dengan rakan gabungan pula, saya sejujurnya sangat berbangga dan juga yakin dengan kerjasama ini. Semestinya tidak akan melepaskan apa-apa peluang bersama Kumpulan Karangkraf,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Hadir sama, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengerusinya, Firdaus Hussamuddin dan Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan & Pengurusan Risiko) Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi.
Turut hadir, Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang dan Ketua Pegawai Eksekutif IMKL, Nora Ahmad.
Dalam pada itu, Norhannah berharap, organisasinya itu dapat belajar dan bergerak seiring serta mencontohi visi serta misi Kumpulan Karangkraf.
"Kita harap dapat jadi sebesar Karangkraf dan jika berpeluang boleh turut serta dalam apa juga program supaya secara tidak langsung dapat menaikkan lagi nama IMKL terutama dalam bidang institut pemanduan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, lawatan tersebut bertujuan untuk IMKL mempelajari, merasai pengalaman dan pengurusan syarikat penerbitan tersebut.
Menurut beliau, kunjungan itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif IMKL dalam meningkatkan kefahaman mengenai pengurusan perniagaan serta menimba ilmu daripada kejayaan Kumpulan Karangkraf.
"Alhamdulillah hari ini kita terima kunjungan daripada IMKL...semasa lawatan kita bawa mereka melawat ke fasiliti yang ada, kemudian adakan sesi dialog bersama penasihat syarikat di Dewan Karangkraf.
"Kita di sini memang mengalukan kehadiran mereka sebab pada pendapat saya ini adalah satu peluang untuk Kumpulan Karangkraf berkongsi pengalaman walaupun berlainan industri.
"Oleh itu, kami berbesar hati untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dalam bidang pengurusan dan perniagaan dengan IMKL agar mereka dapat mengambil manfaat daripada perjalanan kejayaan Kumpulan Karangkraf,” kata beliau.
Tambah Nik Justin, beliau turut berharap agar IMKL terus maju sebagai salah satu institusi memandu yang paling berjaya dan berintegriti di Malaysia serta melahirkan graduan yang bertanggungjawab ketika berada di jalan raya.