Zaim, Ismanira mohon batal kes abai Zayn Rayyan tidak berasas - Pendakwaan

Iklan
Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (kiri) bersama Ismanira Abdul Manaf (kanan). Foto Bernama

SHAH ALAM – Pihak pendakwaan bagi kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, notis usul yang difailkan ibu bapa kanak-kanak autisme untuk membatalkan pertuduhan adalah tidak berasas dan tidak bermerit.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, hujahan pihak pembelaan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka adalah kabur, cacat dan tidak menyatakan cara kesalahan dilakukan juga tidak bermerit.

Iklan
Iklan

Ini kerana beliau berkata, perkara yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan ialah menyentuh elemen-elemen kesalahan yang ada dalam pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, antara butiran tersebut ialah sama ada mangsa merupakan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, berada bawah pemeliharaan pasangan berusia 30 tahun itu dan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal serta emosi.

Iklan

Beliau berkata, poin itu juga telah memenuhi Seksyen 152 dan 153 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

"Baki 10 lagi saksi lain akan hadir dalam prosiding yang akan bersambung pada 11 Mac depan.

Iklan

"Jika pembelaan menghujahkan bahawa pertuduhan adalah cacat dan kabur, masakan mereka boleh menyoal balas saksi-saksi berkenaan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz.

Susulan itu, beliau memohon mahkamah menolak permohonan berkenaan, kerana ia telah bersifat akademik.

Selain itu Raja Zaizul Faridah berkata, permohonan untuk membatalkan pertuduhan ini telah ditolak oleh Hakim, Dr Syahliza Warnoh yang memutuskan, pertuduhan dihadapi kedua-dua pemohon ini, tidak cacat dan mengikut peruntukan undang-undang.

Menurutnya, mereka juga tidak membuat sebarang rayuan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan terbabit.

Sementara itu, peguam, Marcus Lee yang mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya adalah cacat dan tidak memenuhi keperluan mandatori di bawah Seksyen 154 CPC itu.

Menurutnya, pendakwaan sepatutnya menyatakan cara jenayah itu dilakukan dalam pertuduhan, agar pembelaan dapat dibuat secara lebih efektif.

"Jika pendakwaan meminda pertuduhan dengan meletakkan cara pengabaian dilakukan, maka kedua-dua pemohon dapat memberi arahan kepada peguam untuk mengemukakan pembelaan dengan lebih berkesan.

"Bagaimanapun, ketika ini kami terpaksa ‘main’ teka untuk mengemukakan pembelaan,” katanya.

Menyentuh hujahan pendakwaan bahawa permohonan ini bersifat akademik malah peguam telah menyoal balas saksi-saksi, beliau berkata, ini kerana mereka tidak mempunyai sebarang pilihan.

Jika elemen kesalahan dimasukkan dalam pertuduhan, beliau berkata, sesi soal balas terhadap saksi-saksi terbabit, dapat dilakukan dengan lebih efektif.

Selepas mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Roszianayati Ahmad menetapkan 4 Mac depan untuk keputusan notis terbabit.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Pada 21 Januari lepas, pasangan itu memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini bagi membatalkan pertuduhan dengan alasan pertuduhan tersebut tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 akta itu.

Mereka turut memohon agar dilepas dan dibebaskan serta-merta.