KOTA BHARU -"Sudah 14 tahun kamu lakukan jenayah, bertaubatlah dengan taubat nasuha.”
Itu nasihat Hakim Zulkifli Abllah kepada Mohd Haikal Nasuha Ab Rahim, 34, sebelum menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan terhadapnya di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa.
Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine pada 31 Oktober tahun lalu di Bilik Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Machang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mempunyai sabitan lampau mengikut Seksyen 39C(1) akta sama.
Seksyen 39C(2) memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan sebatan, manakala Seksyen 38B membolehkan tertuduh dikenakan pengawasan sehingga tiga tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh, bagaimanapun, Mohd Haikal merayu agar hukumannya diringankan.
Dalam keputusannya, Zulkifli turut menzahirkan harapan agar tertuduh benar-benar insaf dan berubah.