TANGKAK – Dua pekerja maut manakala tujuh lagi cedera selepas sebuah mesin meletup di sebuah kilang pemprosesan getah di sini, pada petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2 petang.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika dua pekerja sedang melakukan kerja penyelenggaraan ke atas lima mesin yang sedang beroperasi.
"Bagaimanapun, salah satu daripada mesin itu tiba-tiba meletup, menyebabkan sembilan pekerja mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, mangsa pertama seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an dikejarkan ke Hospital Tangkak dan disahkan meninggal dunia.
Manakala, mangsa kedua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an dibawa ke Hospital Muar sebelum disahkan meninggal dunia.
"Daripada jumlah mangsa, enam mangsa merupakan lelaki warga tempatan, manakala masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh, seorang warga Nepal dan seorang warga Myanmar," ujar beliau.
Roslan berkata, proses bedah siasat dijalankan pagi Selasa dan siasatan diteruskan mengikut kes laporan mati mengejut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.