SEPANG - Penubuhan Air Borneo yang disokong oleh kerajaan Sarawak dijangka mengukuhkan kesalinghubungan serantau selain meningkatkan pilihan perjalanan udara di Malaysia Timur tanpa mengganggu landskap penerbangan sedia ada negara, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Bercakap kepada media selepas pelancaran Menzies Aviation Malaysia di sini pada Isnin, Anthony berkata, fokus Air Borneo bagi memperluas laluan penerbangan dari Kuching seiring usaha meningkatkan kesalinghubungan dalam Sarawak dan juga wilayah Borneo.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan pengambilalihan MASwings terhadap keseluruhan strategi penerbangan di Malaysia khususnya dalam menyeimbangkan kesalinghubungan serantau dan persaingan dengan syarikat penerbangan domestik sedia ada.
Anthony berkata, Air Borneo mahu melakukan penerbangan ke lebih banyak destinasi dari Kuching kerana ingin membawa lebih banyak kesalinghubungan ke Kuching dan juga ke Borneo.
"Sudah tentu, itu merupakan usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan Sarawak. Setakat yang kami tahu, kami menyokongnya,” katanya.
Menurut Menteri Pengangkutan itu walaupun syarikat penerbangan lain kebanyakannya dipacu oleh pertimbangan komersial, Air Borneo sebagai milik kerajaan negeri mempunyai agenda khusus untuk mengutamakan kesalinghubungan serantau.
Beliau juga berkata, syarikat penerbangan tersebut disokong oleh kerajaan Sarawak serta ia dianggap penting kerana mengendalikan syarikat penerbangan memerlukan modal yang besar selain sokongan kewangan yang kukuh.
Pada awal bulan ini, Sarawak dilaporkan akan mempunyai syarikat penerbangannya sendiri iaitu AirBorneo selepas melaksanakan pengambilalihan rasmi daripada MASwings.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan penubuhan AirBorneo pada 12 Februari 2025 selepas Perjanjian Jual Beli (SPA) dimeterai di antara kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG). - Bernama