PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Program PJ Watch dengan memasang 14 unit Mobile CCTV di 48 lokasi hotspot pembuangan sampah haram bagi menangani isu kebersihan di bandar raya ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan MBPJ untuk membanteras masalah pembuangan sampah secara haram yang semakin membimbangkan.
"Kita telah mengenal pasti lokasi hotspot pembuangan sampah haram dan memasang Mobile CCTV untuk memantau aktiviti ini.
"Dalam tempoh dua bulan, kita berjaya menangkap lapan individu, termasuk pemandu lori yang terlibat dalam kesalahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Media MBPJ di M Ressort Hotel di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya, usaha itu juga turut memberi tumpuan terhadap isu penyelenggaraan sungai bagi menangani isu pencemaran sungai.
Mohamad Zahri memberitahu, kerajaan negeri telah menetapkan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan sungai.
"Di Petaling Jaya sahaja, terdapat 11 anak sungai sepanjang 48 kilometer (km) yang perlu diselenggara secara berkala bagi mengelakkan pencemaran selain mengambil pendekatan proaktif bagi menangani masalah ini dari peringkat awal," kata beliau.
Jelas beliau, MBPJ juga telah menguatkuasakan undang-undang dalam tempoh dua bulan terakhir
"MBPJ telah menahan lapan individu termasuk pemandu lori yang dikesan melakukan pembuangan sampah haram.
"Mereka dikenakan kompaun serta-merta sebagai tindakan tegas untuk membendung aktiviti tersebut," tambah beliau.
Mengulas mengenai majlis itu, Mohamad Zahri berkata, pihaknya amat menghargai kerjasama dengan media yang banyak membantu bagi memastikan kejayaan program tersebut.
"Kejayaan program ini memerlukan sokongan penuh daripada semua pihak termasuk penduduk setempat dan media.
"Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, MBPJ komited untuk menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar yang lebih bersih dan teratur seterusnya memberikan kehidupan lebih selesa kepada penduduknya," tambah beliau.