KANGAR - Misteri kehilangan seorang warga emas yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke Gua Beringin, Chuping pada Ahad berakhir dengan penemuan mayatnya tengah hari pada Isnin.
Mangsa, Kamardin Pin, 61, ditemukan tidak bernyawa di kawasan hutan kira-kira 50 meter dari belakang rumahnya pada jam 12.03 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
"Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, kehilangan Kamardin dilaporkan isterinya pada jam 1.56 tengah hari selepas dia menyedari suaminya tidak pulang sejak keluar ke gua berkenaan sekitar jam 8 pagi.
Difahamkan, Kamardin yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah memandu di Pauh, Arau, menghidap penyakit jantung dan darah tinggi.