TANAH MERAH - Seorang pemandu lori ditahan oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa bersama 2,000 anak pokok bunga ros dipercayai diseludup dari Thailand menerusi penugasan Op Taring Wawasan di Lalang Pepuyu di sini pada Ahad.
Lelaki berusia 24 tahun itu dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di kawasan terbabit kira-kira jam 7 pagi.
Iklan
Iklan
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan telah menemukan pelbagai jenis anak pokok ros yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
"Tanaman tersebut disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit. Anggaran keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM650,000," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Menurut beliau, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5.