BN sedia hadapi PRK Ayer Kuning, tidak pandang mudah cabaran

Iklan
Saarani (tengah) ketika sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia pada Isnin.

IPOH - Barisan Nasional (BN) tidak memandang mudah usaha mempertahankan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang kini kosong berikutan kematian penyandangnya.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani berkata, meskipun Parti Amanah Negara (Amanah) Perak yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan sudah memberikan laluan kepada BN bertanding di kerusi itu, ia bukan jalan mudah untuk menang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun penghargaan perlu diberikan kepada Amanah dan Pemuda DAP yang telah menyatakan sokongan untuk membantu BN mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.

"Atas kertas sepatutnya memberi kemenangan besar kepada calon Kerajaan Perpaduan. Saya tengok jumlah pengundi asal BN ada 9,000 lebih. Pengundi asal PH (Pakatan Harapan) ada 6,000 lebih (undi). Jadi kalau itu dijadikan asasnya, 15,000 undi sepatutnya diterima tak termasuk pengundi baharu dalam tempoh dua tahun ini.

Iklan

"Tapi tak boleh pandang mudah sebab manusia berubah, dia dinamik. Usaha masih perlu diteruskan untuk berjumpa pengundi dan juga merayu untuk mendapat undi. Kita masih perlu untuk mendekati pengundi-pengundi muda, pengundi-pengundi baru," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, Saarani berkata, persefahaman yang baik di antara PH dan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini terjalin sejak tahun 2023 lagi.

Jelasnya, jika berlaku PRK di mana-mana kawasan kerusi tersebut akan ditandingi oleh penyandang asal dan ia boleh dilihat dalam beberapa siri PRK terdahulu.

Beliau berkata, perbincangan lanjut mengenai gerak kerja akan dilakukan melalui kolaborasi bersama di antara parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Saarani memberitahu pemakluman kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning itu telah diserahkan kepada Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Pada Ahad, media melaporkan Mohammad Zahir akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Ayer Kuning berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada Selasa ini.

Makluman rasmi itu bagi tindakan lanjut SPR termasuk mengadakan PRK bagi kawasan berkenaan.

Berdasarkan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Speaker DUN akan memaklumkan kepada SPR untuk mengadakan PRK.

PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim dari Amanah yang mendapat 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal dari Pas (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi).