SHAH ALAM - Data terkini daripada bank-bank menunjukkan bahawa fi RM1 tidak memberi kesan kepada individu berpendapatan rendah, sebaliknya membolehkan pengguna lain menikmati kemudahan tersebut.
Kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar tidak akan terjejas kerana lazimnya mereka akan mengeluarkan wang tunai daripada mesin pengeluaran automatik (ATM) bank masing-masing.
Contohnya, di daerah Pitas, Sabah, pengeluaran wang antara bank di mesin ATM hanya menyumbang sekitar 30 peratus daripada jumlah transaksi, manakala Kota Setar, Kedah yang mempunyai lapan ATM, lebih kurang 75 peratus pengeluaran ATM melibatkan pelanggan bank ATM itu sendiri.
Walau bagaimanapun, pengeluaran ATM antara bank di kawasan bandar seperti Kuching, Sarawak merangkumi lebih kurang 65 peratus daripada jumlah transaksi walaupun terdapat 112 ATM.
Keadaan itu bukan hanya disebabkan oleh faktor pengeluaran tunai semata-mata, tetapi juga kerana aspek kemudahan di sesebuah kawasan.
Pelanggan mungkin memilih ATM antara bank kerana kedudukannya lebih dekat dari tempat tinggal mereka selain mudah diakses dan bukan disebabkan kekurangan pilihan mesin pengeluaran wang antara bank yang mempunyai pengeluaran percuma.
Dalam pada itu, kos penyelenggaraan mesin ATM yang tinggi tidak dapat ditanggung dengan kutipan fi sebanyak RM1.
Hal ini kerana, daripada fi RM1, hanya sebahagian kecil akan diperuntukkan kepada Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk mengendalikan dan menyelenggara rangkaian sistem ATM yang membolehkan pengeluaran tunai antara bank.
Bakinya itu diperuntukkan kepada bank-bank untuk menampung kos operasi ATM.
Kos tersebut termasuk pengangkutan kemasukan wang tunai ke ATM, penyelenggaraan sistem keselamatan, pemeliharaan sistem dan sewa premis.
Bank tanggung pelbagai kos tambahan
Caj RM1 kepada setiap pengeluaran tunai di mesin ATM memudahkan penduduk bandar.