KOTA BHARU - Seorang remaja maut selepas kereta yang dinaikinya terbabas dalam dalam kemalangan di Kampung Jalan Pulau Chondong, Manchang awal pagi Isnin.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK I) Mohd Nazri Taib berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.33 pagi memaklumkan kemalangan berkenaan.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Ketereh bergegas ke lokasi dan sebaik tiba didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Honda Jazz terbalik di tepi jalan dipercayai terbabas.
"Kereta itu dinaiki tiga individu lelaki yang berusia 18 tahun namun pemandu tersepit di bahagian tempat duduknya," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Mohd Nazri memberitahu, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia selepas dikeluarkan dari kenderaan yang mengambil masa kira-kira sejam.
Jelas beliau, dua lagi rakan mangsa bertindak keluar sendiri dari kenderaan dan tidak mengalami kecederaan serius.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.52 pagi dan mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.