Penghantar makanan cedera cubaan samun

Iklan
Seorang penghantar makanan cedera dalam cubaan samun di Jalan UKM Bangi dari Bandar Seri Putra ke Teras Jernang di Kajang, pada Sabtu. (Gambar kecil: Naazron) Foto hiasan 123RF

KAJANG - Seorang penghantar makanan cedera dalam cubaan samun di Jalan UKM Bangi dari Bandar Seri Putra ke Teras Jernang di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, ketika kejadian pada jam 12.37 tengah malam, mangsa berusia 18 tahun itu yang menunggang motosikal telah ditahan sekumpulan empat lelaki menaiki kereta Perodua Bezza.

Iklan
Iklan

"Pengadu yang merasakan dirinya akan disamun terus memecut motosikalnya, namun salah seorang suspek sempat memukul kepalanya sebelum dia berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Naazron berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian harta benda, namun dahinya lebam akibat dipukul semasa kejadian.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474," katanya.

Dalam perkembangan sama, Naazron berkata, pihaknya mengesan hantaran tular melalui aplikasi Instagram pada jam 1.14 tengah hari Ahad, memaparkan satu laporan polis serta nota perbualan berkenaan kes samun dan mencederakan sepasang suami isteri dan anak mereka.

Iklan

"Semakan telah dibuat dan mendapati tiada sebarang laporan kejadian seperti yang ditularkan," katanya.