TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad sengaja mencetuskan kemarahan Hamas apabila ia menangguhkan pembebasan tahanan Palestin di bawah perjanjian pertukaran ketujuh.
Pemimpin ekstremis itu memberi alasan penangguhan tersebut akan dibuat sehingga Hamas menghentikan 'upacara memalukan' ketika pembebasan tawanan dari Gaza.
Sejak fasa pertama perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, Hamas telah membebaskan seramai 25 tawanan malah turut mengadakan 'majlis perpisahan' buat mereka.
Mereka turut diberi peluang untuk tampil dan berucap di pentas selain menerima 'cenderahati' daripada anggota pejuang bumi Gaza tersebut.
Israel bagaimanapun melanggar kandungan perjanjian gencatan senjata setelah Hamas membebaskan enam tawanan pada Sabtu.
Hamas menyifatkan ia sebagai pelanggaran secara terang-terangan terhadap kandungan perjanjian fasa pertama itu yang bakal tamat tempoh pada awal Mac.
"Israel perlu terus komited dengan pelaksanaan protokol kemanusiaan tersebut. Selama 33 hari telah berlalu sejak fasa pertama bermula, namun Zionis masih gagal menyelesaikan pelaksanaan penuh syarat perjanjian damai," kata jurucakapnya, Abdul Latif al-Qanou.
Di bawah kesepakatan yang dicapai sebelum ini, rejim Tel Aviv sepatutnya membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dalam tempoh 42 hari. - Agensi