Kedah giat hasilkan varieti padi baharu, keluarkan beras sendiri

Iklan
Dzowahir (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas melawat ladang mempelam Usima Agriculture Sdn BHD di Kampung Kelompang, Alor Setar pada Ahad.

ALOR SETAR – Kerajaan negeri sedang giat menjalankan kajian bagi menghasilkan varieti padi baharu yang lebih berkualiti dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras negeri ini.

Exco Pertanian Kedah, Dzowahir Ab Ghani berkata, kajian itu dilaksanakan dengan kerjasama universiti tempatan, agensi kerajaan serta pemain industri bagi memastikan varieti terbaik dapat dihasilkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perancangan Kerajaan Negeri yang mahu mengeluarkan beras Kedah dijangka dapat dihasilkan pada penghujung tahun 2026, sejajar dengan penghasilan varieti padi baharu yang sedang dikaji.

"Satu tapak kajian seluas 20.2 hektar di Tobiar, Pendang telah dipilih bagi menjalankan ujian ke atas varieti padi yang berpotensi.

Iklan

"Kawasan ini dipilih kerana ia merupakan tanah bendang yang kurang subur, sekali gus menjadi penanda aras bagi daya tahan varieti baharu yang diusahakan.

Beliau berkata demikian selepas melawat ladang mempelam Usima Agriculture Sdn BHD di Kampung Kelompang, dekat sini.

Iklan

Tambah beliau, kajian ini amat penting kerana varieti padi yang digunakan sekarang, iaitu MR297, telah mencapai tempoh hayatnya dan perlu digantikan dengan varieti baharu yang lebih produktif.

Menurutnya, ketika ini, kebanyakan petani di Kedah masih menggunakan varieti MR297.

"Varieti ini semakin berkurangan dari segi ketahanan dan hasilnya. Oleh itu, kita perlu mencari varieti baharu yang mampu menjamin pengeluaran beras negeri.

"Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita mampu menghasilkan varieti padi Kedah yang lebih baik dan berdaya saing,” katanya.

Pada Februari tahun lalu, media melaporkan Kerajaan Kedah merancang mengeluarkan produk beras Kedah pada harga lebih murah berbanding harga pasaran ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sedang merangka kaedah pengeluaran beras Kedah pada harga lebih murah berbanding pasaran ketika ini.

Menurutnya, rakyat Kedah sepatutnya dapat membeli beras pada harga lebih rendah kerana negeri itu menyumbang lebih 40 peratus pengeluaran beras negara.