TEKANAN kerja berlebihan dan keletihan emosi melampau menjadi antara punca utama jururawat terutama yang berkhidmat di hospital kerajaan mengambil keputusan bersara awal berbanding meneruskan kerjaya sehingga usia 60 tahun.
Pensyarah Kanan Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Rezki Perdani Sawai berkata, situasi tersebut bukan sahaja berlaku di negara ini, malah seluruh dunia.
Beliau berkata, berdasarkan kajian diterbitkan Journal of Advanced Nursing dan dalam konteks negara ini, trend jururawat bersara awal meningkat selepas pandemik Covid-19.
"Faktor lain menyumbang kepada isu jururawat berhenti kerja lebih awal adalah disebabkan tempoh masa bekerja yang panjang, kurang kawalan, konflik dengan individu, tekanan psikososial, kurang ganjaran dan masalah dalaman organisasi,” katanya kepada Sinar Ahad.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, sebanyak 6,896 kekosongan jururawat di Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh empat tahun bermula apabila negara diserang wabak Covid-19.
Antara faktornya adalah disebabkan tekanan persekitaran tempat kerja dan gaji yang rendah sehingga ramai daripada mereka mengambil keputusan berhenti kerja.
Sementara itu, Dr Rezki berkata, beban kerja yang tinggi secara konsisten menyebabkan kepuasan kerja para jururawat menurun sehingga kurangnya empati terhadap pesakit.
"Kemerosotan kesihatan mental juga menimbulkan masalah kebimbangan, kemurungan dan insomnia seperti dilaporkan berlaku dalam kalangan jururawat susulan tekanan berterusan dihadapi mereka.
"Impak fizikal seperti keletihan kronik akibat beban kerja juga boleh mengakibatkan penyakit seperti hipertensi dan masalah jantung,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Dr Rezki mencadangkan kepada KKM supaya menyediakan bantuan kesihatan mental termasuk akses kepada kaunselor, terapi psikologi atau program bantuan pekerja (AEP).