Dua rakan sekerja warga Indonesia maut dalam nahas 5 kenderaan di Kuantan

Iklan
Dua lelaki warga Indonesia maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Stesen Minyak Petronas Taman Dato Rashid, Jalan Pintasan Kuantan, pada pagi Sabtu. Foto Polis Trafik Kuantan

KUANTAN - Dua rakan sekerja warga Indonesia maut apabila kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak, Taman Dato’ Rashid di Jalan Pintasan Kuantan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian 8.15 pagi itu, Nuryama Heri Adiyanto, 45, dan Djianto, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Iklan
Iklan

"Kemalangan ini melibatkan lima kenderaan iaitu Perodua Myvi, Proton Wira, Proton Exora, Perodua Alza dan sebuah lori. Siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika pemandu Perodua Myvi bersama seorang penumpang, masing-masing berusia 29 tahun dari arah Gebeng menuju ke Indera Mahkota.

"Setiba di tempat kejadian, kereta tersebut telah bergesel dengan Proton Wira semasa hendak mengubah laluan ke lorong kiri kerana ingin mengelak percikan air kenderaan hadapan yang mengganggu penglihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, insiden itu menyebabkan Proton Wira yang dipandu Nuryama hilang kawalan dan masuk arah bertentangan lalu bertembung dengan Proton Exora dan sebuah lori sebelum Proton Exora itu dilanggar belakang oleh Perodua Alza.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu dan penumpang Proton Wira yang bekerja sebagai tukang rumah meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara, pemandu dan penumpang Proton Exora mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Iklan

"Lima lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil menambah mayat kedua-dua mangsa dibawa ke HTAA untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama