Warga asing jadi tauke, orang tempatan untung atas angin

Iklan
Jafri (kanan) dan Abd Hamid (kiri) ketika operasi di Kompleks Pasar Meru pada Sabtu.

KLANG – Segelintir warga asing dikesan menjalankan perniagaan sendiri dengan menyewa gerai daripada pemilik tempatan di Kompleks Pasar Meru di sini.

Perkara itu terbongkar hasil operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang dijalankan jam 5.30 pagi Sabtu.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi JIM, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya percaya tindakan pemilik asal menyewakan gerai kepada warga asing dibuat bagi meraih keuntungan lebih tinggi.

"Kebanyakan mereka menyewakan gerai ini pada kadar tinggi kepada warga asing, sedangkan tindakan itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah tidak bertanggungjawab.

Iklan

"Kami akan menjalankan siasatan lanjut dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas operasi di Kompleks Pasar Meru di sini pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, hampir 50 peratus daripada 600 lot yang dilesenkan MBDK dipercayai disewakan kepada warga asing.

"Kemudahan yang disediakan MBDK ini ditawarkan pada kadar sewa rendah, tetapi ada yang mengambil kesempatan dengan menyewakannya kepada warga asing pada harga lebih mahal.

"Kami akan mengambil tindakan tegas, termasuk membatalkan lesen dan menyenarai hitam pemilik asal yang terbabit,” katanya.

Beliau menegaskan, langkah itu penting bagi memastikan lot perniagaan yang diperuntukkan kepada peniaga tempatan tidak terus disalah guna.