KAJANG - Kawasan semak dan kebun kelapa sawit di sekitar daerah ini yang dijadikan tempat melepas gian dadah serta menunggu tokan diserbu polis baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Op Sarang itu dilaksanakan pihaknya bermula 10 hingga 16 Februari.
"Seramai 11 lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun telah ditahan dan dipercayai adalah penagih dan pengedar.
"Semasa operasi terdapat cubaan suspek ini melarikan diri selain enggan mengaku terjebak dengan penyalahgunaan dadah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.
Katanya, polis telah merampas dadah heroin dengan anggaran berat 0.20 gram dan syabu seberat 0.05 gram.
Tambahnya, Op Sarang yang dijalankan oleh JSJN Selangor merupakan salah satu inisiatif dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai sarang pengedar dan sarang penagih dadah di sekitar Selangor.
"Kesemua tangkapan tersebut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama. Dua tangkapan juga merupakan individu berpotensi untuk tindakan di bawah Seksyen 39C akta sama," ujarnya.