SHAH ALAM – Malaysia disaran mengiktiraf kerajaan baharu Syria bagi memperkukuh diplomasi dan solidariti dunia Islam dalam menolak eksploitasi perbezaan mazhab atau 'sektarianisme' yang hanya melemahkan kerjasama politik serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Syahrir Azfar Saleh berkata, pengiktirafan itu sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) pada Rabu lalu yang menekankan kepentingan kesatuan dunia Islam dalam isu Syria dan Palestin.
"Sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, tanda-tanda awal penyesuaian dan usaha membina keamanan di Syria membawa harapan kepada rakyatnya serta membuka peluang besar bagi seluruh umat.
"Justeru, GPM berpandangan sudah tiba masanya Malaysia mengiktiraf kerajaan baharu Syria bagi membolehkan langkah-langkah strategik dapat diambil dalam membantu kestabilan dan pemulihan negara itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini Anwar dilapor menggesa sarjana dan intelektual dunia Islam untuk bersatu menentang perpecahan mazhab serta mengambil tindakan konkrit dalam menyokong Palestin dan Syria.
Berucap pada majlis dihadiri 400 sarjana Islam, pemimpin agama dan pakar di persidangan tersebut yang berlangsung di Manama, Bahrain, Anwar mengecam keras eksploitasi perbezaan mazhab.
Syahrir berkata, GPM melalui pengamatan dan dapatan daripada misi bantuan kemanusiaan serta penilaian fakta (‘facts-finding’) yang dilaksanakan ke Syria baru-baru ini melihat bahawa pengiktirafan kerajaan baharu Syria oleh Malaysia akan membuka ruang bagi memperkukuh diplomasi dan solidariti dunia Islam seperti yang ditekankan Anwar.
"Selain itu pengiktirafan ini akan memudahkan usaha-usaha penyaluran bantuan pembinaan semula Syria yang telah hancur akibat peperangan selama hampir 15 tahun di dalam aspek pendidikan, kesihatan dan juga pembangunan infrastruktur.
"Ini selari dengan gesaan Perdana Menteri bahawa dunia Islam mesti komited dalam menyediakan dukungan kepada rakyat yang memerlukan dan pengiktirafan ini membolehkan Malaysia mengambil peranan lebih aktif dalam membantu pemulihan Syria.
"GPM juga melihat pengiktirafan yang diberi mampu membuka semula peluang kerjasama dan merancakkan kembali ekonomi serta perdagangan yang berupaya memberikan kekuatan kewangan kepada Syria untuk meneruskan usaha pembangunan semula negara tersebut dalam pelbagai aspek,” ujarnya.
Syahrir menambah, Malaysia sendiri pada asasnya mempunyai hubungan perdagangan eksport dengan Syria dalam sektor minyak sawit, minyak sayuran serta pakaian berasaskan getah.
Dalam kapasiti Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, Syahrir memberitahu, negara boleh menggunakan platform tersebut bagi memberi tekanan kepada usaha pelepasan penuh sekatan yang dikenakan ke atas Syria.
"Melalui interaksi dengan komuniti antarabangsa, Malaysia boleh memastikan bantuan kemanusiaan dan usaha pembinaan semula di Syria tidak terhalang.
"Sebagaimana yang ditegaskan Perdana Menteri, dunia Islam perlu bertindak lebih daripada sekadar retorik dan Malaysia dilihat boleh menjadi rakan strategik dalam membangunkan semula Syria melalui pelaburan, perdagangan dan kerjasama teknikal,” tegas beliau.
Menerusi langkah yang diambil berkenaan, katanya, sejarah akan membuktikan bahawa dunia Islam bukan sekadar bersolidariti melalui kata-kata tetapi juga daripada tindakan berani yang ditunjukkan.
"Malaysia sebagai negara yang konsisten dalam memperjuangkan kestabilan rantau dan keadilan global wajar memimpin langkah ini dengan mengiktiraf kerajaan baharu Syria,” katanya.