Warga China beli 'cash' 8 unit kondo jadikan pusat scammer

Iklan
Ramli (kiri) menunjukkan pelbagai rampasan barang dalam serbuan pusat panggilan di unit kondominium di ibu negara.

KUALA LUMPUR - Lapan unit kondominium bernilai RM16 juta di Persiaran Stonor, di sini, dibeli tunai secara berperingkat oleh warga China dan dijadikan sebagai pusat panggilan penipuan dibongkar polis, pada Rabu.

Kejayaan itu dilakukan sepasukan Unit Taktikal Siber dan Bahagian Operasi Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman hasil maklumat serta risikan.

Iklan
Iklan

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan ini berjaya menahan 14 individu termasuk empat wanita berusia lingkungan 28 hingga 52 tahun.

Katanya, suspek terdiri daripada seorang warga Turkiye, 11 warga China dan dua tempatan yang disyaki berperanan sebagai ketua sindiket, penolong ketua, pengurus, pengurus kewangan, pegawai khidmat pelanggan serta pemandu.

Iklan

"Polis telah merampas pelbagai barang antaranya wang tunai RM4.8 juta serta pelbagai jumlah mata wang negara lain, dua Toyota Alphard, peralatan komputer, barang kemas, modem serta dokumen jual beli rumah dengan nilai keseluruhan mencecah RM7 juta.

Polis menahan 14 individu dalam serbuan di lapan unit kondominium membabitkan kes penipuan permainan dalam talian.

"Sindiket dipercayai terlibat dalam penipuan permainan dalam talian yang menawarkan hadiah berbentuk gajet iaitu peranti telefon, komputer serta barangan mewah termasuklah Louis Vuitton, Balenciaga dan sebagainya.

Iklan

"Pertandingan online yang dianjurkan sindiket ini adalah melalui platform WeGame dan menjanjikan beberapa kategori pemenang iaitu special, first, second, third dan lucky prize," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, melalui pemeriksaan yang dilakukan, kesemua lapan premis kondominium itu dimiliki oleh salah seorang suspek wanita warga China.

Katanya, dipercayai setiap kediaman bernilai RM2 juta itu dibeli secara berperingkat sejak September tahun lalu.

"Siasatan juga mendapati suspek wanita dan ketua sindiket dipercayai merupakan bekas suami isteri," ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Ramli, sindiket menyasarkan mangsa dari negara China.

Pelbagai mata wang tunai dirampas polis dalam serbuan di ibu negara, Rabu lalu.

"Ahli sindiket perlu menyertai aplikasi chatting dan forum-forum di China berkaitan permainan online (online gaming). Seterusnya, mereka akan mempelawa pemain-pemain baharu untuk menyertainya dengan menawarkan hadiah kemenangan yang lebih besar dan mewah.

"Mangsa yang berminat kemudiannya akan diminta untuk memuat turun aplikasi permainan yang ditetapkan," katanya.

Tambahnya, mangsa akan diarahkan untuk membuat pembayaran bagi menyertai pertandingan dan mengenakan bayaran tambahan bagi meneruskan permainan.

"Bagaimanapun, setelah bayaran dibuat, sindiket tidak lagi dapat dihubungi," katanya.

Menurut Ramli, sindiket ini didapati memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sekitar bulan Oktober tahun lalu.

"Setiap ahli sindiket menerima gaji sekitar RM3,000 hingga RM7,000 sebulan, manakala ketua sindiket dan beberapa pembantunya tidak menerima gaji tetap, namun dipercayai menerima keuntungan yang lebih tinggi hasil aktiviti yang dilakukan.

"Mereka ini juga dipercayai terlibat dengan aktiviti jenayah yang sama di Filipina dan menggunakan wang keuntungan yang diperoleh di sana untuk membeli aset di Malaysia," katanya.

Tegasnya, 12 warga asing yang ditahan telah direman empat hari hingga 23 Februari, manakala dua warga tempatan direman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.