SEREMBAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan situasi kusta di Kuala Pilah dalam keadaan terkawal dan pesakit kusta tidak perlu diasingkan susulan terdapat rawatan berkesan bagi penyakit itu.
KKM dalam satu kenyataan berkata, sehingga 19 Januari lalu sejumlah 368 daripada 460 orang penduduk di Kampung Chergun dan Guntur telah menjalani saringan dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan itu, ia merupakan sebahagian daripada usaha mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan sejak bulan Julai 2024.
"Sehingga kini, sebanyak sembilan kes disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberi rawatan mengikut regim garis panduan yang ditetapkan.
"Salah seorang daripada pesakit berusia 18 tahun dari Kampung Chergun telah meninggal pada 17 Februari lalu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Kata kenyataan itu, pesakit berkenaan sebelum ini dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan dan Najihah (HTAN) dan menerima rawatan setelah mengalami gejala demam, sakit perut dan muntah.
Ujarnya, ahli keluarga pesakit membawa pesakit pulang ke rumah pada 16 Februari 2025, dan telah meninggal dunia keesokan harinya.
Tambah kenyataan itu, aktiviti pengesanan kes dan kontak serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan masih diteruskan.
"Mana-mana individu mempunyai gejala seperti penyakit kusta perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
"KKM menyeru masyarakat agar memberi kerjasama kepada pasukan kesihatan semasa aktiviti pengesanan kes dijalankan," kata kenyataan itu.