Jangan sensasikan kes kanak-kanak tercekik gula-gula kenyal - Polis

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung insiden murid Tahun 5 yang tercekik gula-gula kenyal.

KEPALA BATAS - Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mensensasikan kes kanak-kanak berusia 10 tahun yang tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian yang berlaku pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada guru seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Kebangsaan Sungai Dua kira-kira jam 12.49 tengah malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu disaksikan oleh rakan sekelas mangsa yang juga berusia 10 tahun.

"Saksi memaklumkan mereka berdua dalam perjalanan ke tandas sebelum mangsa tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Iklan

"Melihat keadaan itu, saksi segera meminta bantuan daripada guru kelas dan pihak sekolah bertindak pantas dengan cuba memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa, namun usaha tersebut gagal.

"Susulan itu, pihak sekolah menghubungi Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan bantuan perubatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Iklan

Anuar berkata, sebaik ambulans tiba, pegawai perubatan berjaya mengeluarkan gula-gula kenyal daripada mulut mangsa, namun mangsa masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Berikutan kejadian itu, Anuar meminta orang ramai agar tidak mensensasikan kes ini hingga mengganggu ketenteraman awam dan siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asistan Superintenden Shuheri Abdul Rani di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.