BUTTERWORTH - Seorang pekerja pembersihan menemui satu objek menyerupai pistol ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan belakang Medan Selera, Pantai Bersih, di sini pada pagi Rabu
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada individu berkenaan kira-kira jam 10.15 pagi.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pegawai penyiasat bersama pasukan forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati objek tersebut merupakan sepucuk pistol jenis revolver yang sudah berkarat dan tidak berfungsi.
"Setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik senjata ini dan kes diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Anuar meminta orang ramai agar tidak mensensasikan kes ini sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam.
Beliau berkata, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Norhaslinda Rahmat di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.