SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) digesa melaksanakan penstrukturan semula pegawai yang ditugaskan menjaga pintu masuk negara terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan tersebut bagi memastikan hanya individu berintegriti tinggi ditempatkan di posisi kritikal berkenaan.
"MCW memandang serius laporan mengenai penglibatan seorang pegawai imigresen di KLIA yang ditemui dengan 12 pasport asing di pinggang seluarnya.
"Insiden ini menimbulkan kebimbangan terhadap integriti dan amalan rasuah di kalangan pegawai yang bertugas di pintu masuk negara.
"Juateru kami mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan tegas dan segera dalam menangani isu ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pegawai imigresen didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja dan ia disyaki mempunyai unsur rasuah.
Laporan itu mendedahkan, perbuatan pegawai berkenaan terbongkar ketika suspek sedang tidur di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2 di luar waktu rehatnya sehingga menimbulkan syak pegawai lain sebelum membuat laporan polis.
Rentetan itu, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kertas siasatan integriti sudah dibuka dan pegawai terbabit sudah ditukar ke Depoh Tahanan KLIA, namun sehingga kini gagal melaporkan diri.
Dalam pada itu Jais turut mencadangkan agensi itu memperketat prosedur pemantauan dan pengawasan terhadap pegawainya melalui penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem audit berkala bagi mencegah aktiviti mencurigakan.
Selain itu menurutnya, pihak berwajib disaran menyediakan program latihan berkala yang menekankan nilai integriti serta etika kerja kepada semua pegawai bagi membentuk budaya kerja bebas rasuah.
"MCW percaya dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, integriti dan kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan dapat dipulihkan.
"Kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang jelas dalam memerangi rasuah dan memastikan pegawai yang bertugas di barisan hadapan menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah dan jujur," ujarnya.