ROMPIN - Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di kawasan jeti Kampung Menchali, Kuala Rompin, di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa, Saari Awang, 67, dari Felda Keratong 6 Muadzam Shah di sini pada jam 2 pagi.
Menurutnya, operasi pencarian digerakkan pada jam 8 pagi bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Sehingga jam 3 petang, mangsa belum ditemui dan operasi pencarian masih dijalankan," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin ke lokasi yang terletak 20 kilometer dari balai untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, operasi SAR turut dibantu Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Pekan.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai ke lokasi itu untuk memancing sebelum disyaki terjatuh ke dalam sungai.
"Operasi pencarian dilakukan di sekitar sungai dan di permukaan air dengan bantuan bot penduduk kampung," katanya.
Beliau berkata, pasukan PPDA telah tiba di lokasi bagi membantu operasi mencari mangsa namun setakat ini warga emas terbabit masih belum ditemui.