Pegawai imigresen KLIA 'ditangkap' selit 12 pasport di pinggang

Iklan
JIM membuka satu kertas siasatan integriti berhubung penemuan 12 keping pasport yang ditemui bersama pegawai jabatan itu di Terminal 2 KLIA, baru-baru ini. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuka satu kertas siasatan integriti berhubung penemuan 12 keping pasport yang ditemui bersama pegawai jabatan itu di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah menemui 12 keping pasport asing pada badan seorang pegawai JIM di Pejabat Operasi Terminal 2 KLIA pada 1 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada 7 Januari dan ia diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.

"Pihak jabatan telah bertindak menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Walau bagaimanapun kata beliau, pegawai terbabit tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas baharu sehingga kini.

Menurut beliau, proses siasatan integriti masih dilaksanakan oleh Bahagian Integriti JIM KLIA.

Iklan

Tegas beliau, JIM tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan.

Tambahnya, tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.

"JIM juga mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai Imigresen melalui talian 03-880 1246 atau melalui e-mel aduan integriti@imi.gov.my atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya," ujarnya.