LABUAN - Seorang warga emas dan dua cucunya maut akibat terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Lazenda Villa 2 Kerupang di sini pada tengah malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, Morris Chong Hoon Cheung, 65, ditemui rentung di bahagian dapur, manakala dua lagi mangsa iaitu Shahwin Kind Chong Shahmioon, 11, dan adik perempuannya, Shayviann Kyrona Ruby, 8, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di lokasi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.27 tengah malam.
Katanya, dua pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral dan BBP Layangan dihantar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tujuh kilometer.
"Terdapat lima lagi mangsa terperangkap dalam rumah tersebut melibatkan empat kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa.
"Dalam kejadian itu, empat kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri telah berjaya dikeluarkan oleh anggota kita," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, empat kanak-kanak yang dikeluarkan segera diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan awal di lokasi kejadian.
"Tiga kanak-kanak diberi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun dua daripadanya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
"Dua kanak-kanak yang cedera masing-masing berusia 13 dan 12 tahun kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan lanjut pihak bomba kemudian menemui seorang mangsa rentung di bahagian dapur dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Abd Rahman berkata, operasi memadamkan kebakaran berjaya dilakukan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.22 pagi.