SHAH ALAM - Biarpun serba kekurangan dan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), Mira Nirawani Mohamad tidak kekok membesarkan tiga anak saudaranya yang merupakan anak yatim.
Wanita berusia 32 tahun itu malah berkata, tiga beradik itu menjadi penguat semangat buatnya dan suami untuk terus memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa.
"Saya tak sanggup lihat anak saudara hidup tanpa kasih sayang ibu dan ayah.
"Allahyarham kakak saya juga adalah kekuatan untuk saya terus bertahan (jaga anak saudara) kerana ketika dia hidup, dia yang jaga saya.
"Jadi saya perlu balas jasanya dengan menjaga anak-anak dia sekarang," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu hantaran yang dimuat naik Mira Nirawani di TikTok memaparkan dirinya menghantar dua anak saudara perempuannya berstatus anak yatim ke sekolah pada hari pertama sesi akademik 2025/2026 meraih perhatian warga maya.
Berkongsi kisah tersebut, wanita yang berasal dari Perlis itu memaklumkan, 2025 merupakan tahun ketiga dia dan suami, Muhammad Alif Malek, 31, menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada tiga beradik itu.
Malah sepanjang tiga tahun menjaga mereka, Mira Nirawani tidak pernah rasa terbeban, malah mengganggap mereka seperti anak kandung sendiri kerana pasangan itu belum dikurniakan zuriat.
"Bila saya tengok anak kedua dan bongsu iaitu Nur Qistina dan Rabiatul Adawiah melangkah masuk ke sekolah, saat itu terlintas di fikiran, saya sebenarnya dah berjaya jadi seorang ibu walaupun tidak melahirkan mereka.
"Apa yang buat sebak bila memikirkan saya dan suami yang bertungkus lumus uruskan sekolah anak-anak ini," ujarnya.
Biarpun Mira Nirawati mengalami masalah tulang belakang dan suami mengidap celebral palsy sejak lahir, pasangan berstatus OKU ini tidak pernah mengharapkan bantuan dalam membesarkan tiga beradik itu.
Namun ujarnya, dia tetap menghargai sumbangan daripada orang persendirian yang ikhlas membantu mereka sekeluarga.
"Antara cabaran kami adalah dari segi kewangan, jadi kami harus ikhtiar dengan buat kerja sambilan memotong rumput pada hujung minggu untuk menampung kos pembelanjaan keluarga.
"Anak sulung, Muhammad Mikail Rifqi pula kini belajar di sekolah tahfiz dan perbelanjaan bulanannya mencecah RM300," katanya.