KOTA BHARU - Paras rupa, sikap romantik serta faktor ekonomi menjadi daya tarikan utama wanita terutama di Kelantan untuk mengahwini jejaka Pakistan, manakala lelaki tempatan pula cenderung memilih wanita Thailand sebagai pasangan hidup.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, Prof Dr Nawi @ Mohd Nawi Ismail, berpendapat fenomena ini memberikan gambaran yang agak negatif terhadap masyarakat tempatan, terutamanya di Kelantan.
"Melalui pemerhatian dan perkongsian cerita, saya mendapati bahawa lelaki Pakistan tertarik untuk berkahwin dengan wanita tempatan atas beberapa sebab, antaranya untuk memperoleh keistimewaan semasa berada di negara ini bagi mencari rezeki,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, ada di antara lelaki Pakistan sudah pun mempunyai isteri di negara asal, namun mereka masih memilih untuk berkahwin dengan wanita tempatan bagi memudahkan pengembangan perniagaan mereka di Malaysia.
"Selain itu, paras rupa lelaki Pakistan yang tinggi, berkulit cerah dan berhidung mancung turut menjadi daya penarik, selain anggapan bahawa mereka lebih romantik berbanding lelaki Melayu,” katanya.
Menurut beliau, sifat penyayang yang ditunjukkan oleh lelaki Pakistan terhadap isteri mereka menjadikan wanita Kelantan mudah terpikat.
"Kesempatan ini diambil oleh sesetengah wanita yang pernah mengalami kekecewaan dalam hubungan mereka dengan lelaki tempatan, untuk mencari kebahagiaan semula,” tambahnya.
Tambah Nawi lagi, satu perkara yang sangat ketara ialah lelaki Pakistan tidak begitu mempedulikan usia atau status janda pasangan mereka.
"Walaupun terdapat kes lelaki Pakistan yang pulang ke negara asal dan tidak kembali lagi ke sini, ia tidak menghalang wanita tempatan untuk terus mencari pasangan," katanya.
Berkenaan dengan lelaki tempatan yang memilih wanita Thailand sebagai isteri, Nawi berkata, ini disebabkan oleh sifat lemah lembut, mudah dididik, serta kebolehan wanita Thailand dalam memasak.
"Saya berpendapat bahawa wanita tempatan seharusnya menjadi pilihan utama. Wanita Melayu juga mempunyai nilai-nilai keperibadian yang tinggi, dengan kelebihan dari segi adat, agama, dan banyak lagi,” ujar beliau.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mendedahkan wanita Kelantan kini menjadi pilihan utama jejaka dari Pakistan, manakala lelaki tempatan lebih memilih wanita Thailand sebagai pasangan hidup.
Ini terbukti daripada peningkatan permohonan pas lawatan sosial jangka panjang bagi pasangan bukan warganegara yang melibatkan kedua-dua negara tersebut setiap tahun.