SHAH ALAM – MGB Berhad (MGB) iaitu penyedia solusi pembinaan dan pembangunan hartanah terkemuka serta anak syarikatnya, LBS Bina Group Berhad, hari ini mengumumkan keputusan kewangan belum diaudit bagi suku keempat (Q4FYE2024) dan tahun penuh berakhir pada 31 Disember 2024 (FYE2024), mengakhiri tahun dengan pertumbuhan berterusan serta momentum pendapatan yang kukuh.
Bagi FYE2024, MGB terus mencatat keputusan kewangan yang memberangsangkan, dan hasil melebihi RM1.0 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 6.2 peratus kepada RM1.03 bilion daripada RM971.8 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan berkenaan didorong oleh lonjakan empat kali ganda dari segmen pembangunan hartanahnya kepada RM483.6 juta daripada RM115.6 juta pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ketara tersebut dipacu oleh projek pembangunan yang sedang berlangsung iaitu Idaman Melur, Idaman Cahaya Fasa 1 dan Fasa 2, Idaman Sari serta Saujana Indah Fasa 1 dan Fasa 2.
Berikutan itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi segmen ini meningkat dengan ketara daripada RM18.6 juta kepada RM76.6 juta. PBT dan keuntungan selepas cukai (PAT) bagi MGB masing-masing melonjak sebanyak 25.9 peratus dan 22.3 peratus kepada RM87.1 juta dan RM61.7 juta dalam FYE2024.
Bagi Q4FYE2024, PBT telah meningkat sebanyak 21.3 peratus kepada RM22.3 juta, manakala PAT meningkat sebanyak 9.0 peratus kepada RM14.3 juta tahun ke tahun, didorong oleh hasil sebanyak RM256.8 juta.
Pertumbuhan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan dalam pendapatan lain yang turut direkodkan sepanjang tempoh dalam semakan.
Mengulas keputusan kewangan ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB,Tan Sri Dr Lim Hock San, berkata, mereka berbesar hati mengakhiri tahun 2024 dengan prestasi yang kukuh, serta membuktikan keupayaan syarikat dalam mengekalkan momentum pendapatan.
Jelas beliau, pertumbuhan ketara dalam segmen pembangunan hartanah syarikat memaparkan peralihan strategik MGB ke arah projek perumahan mampu milik yang mempunyai permintaan tinggi serta inisiatif kerajaan negeri seperti Rumah Selangorku 3.0.
"Keutamaan teras kami kekal pada pelaksanaan yang cekap bagi semua projek, memastikan penyempurnaan mengikut jadual dan penggunaan sumber yang optimum.
"Ini selaras dengan misi kami untuk melangkaui sempadan dan jangkaan dalam aspek kualiti, kebolehpercayaan dan inovasi.
"Didorong oleh komitmen teguh kami dalam membangun, menambah baik dan menyediakan solusi perumahan mampu milik, kami terus berpegang kepada visi untuk menjadi pakar reka bentuk dan bina yang diiktiraf dengan menetapkan piawaian baharu.
Ujar Hock San lagi, matlamat MGB adalah untuk mencipta ruang kediaman yang sekali gus menangani permintaan yang semakin meningkat terhadap rumah berkualiti tinggi, kos efektif dan direka dengan prihatin serta menawarkan pakej yang menarik bagi meningkatkan aksesibiliti kepada lebih ramai individu dan keluarga.
Katanya, perlu diberi perhatian bahawa sektor perkilangan mereka, yang dikendalikan oleh anak syarikat, MGB Sany (M) IBS Sdn Bhd, beroperasi dengan lancar dan menunjukkan kestabilan dan berpengaruh dalam industri.
"Syarikat ini telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai tertinggi sebanyak RM11.5 juta, mencerminkan pengaruhnya yang semakin berkembang dan daya tahan dalam pasaran.
"Kami juga menilai dan meneroka peluang pelaburan strategik serta kerjasama yang saling menguntungkan, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
"Berdasarkan kedudukan yang mampan, kami telah membuat keputusan untuk menyemak semula dasar dividen kami,” jelasnya.
Selaras dengan penghargaan MGB terhadap sokongan pemegang saham dalam pertumbuhan Kumpulan, MGB telah menyemak semula dasar dividennya, dengan meningkatkan kadar pengagihan minimum semasa daripada 20 peratus kepada 30 peratus daripada PAT dan kepentingan minoriti, berkuat kuasa mulai FYE2024.
Bagi suku ini, lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak RM0.015 sesaham ke atas 591.7 juta saham biasa, berjumlah RM8.99 juta, yang akan dibayar pada 28 Mac 2025.
Setakat 31 Disember 2024, kedudukan kewangan MGB kekal kukuh dengan baki tunai dan bank sebanyak RM100.2 juta, manakala aset bersih sesaham meningkat kepada RM1.02 berbanding RM0.93 setahun lalu.
MGB terus mengekalkan rekod tempahan pembinaan yang kukuh, berjumlah kira-kira RM1.27 bilion daripada projek pembangunan hartanah setakat ini, memberikan jangkaan pendapatan yang kukuh bagi FYE2025.
Sementara itu, jualan bagi segmen pembangunan hartanah yang belum dibil MGB adalah berjumlah RM0.63 bilion setakat 31 Januari 2025.