Kerajaan Persekutuan perlu bertindak segera tangani isu sempadan negara - Exco Kelantan

Iklan
Keadaan sempadan negara antara Malaysia-Thailand di Sungai Golok. Gambar kecil: Hilmi

KOTA BHARU - Langkah segera bagi menyelesaikan isu sempadan negara di Kelantan perlu dimulakan Kerajaan Persekutuan termasuk membina zon penampan yang lebih jelas bagi mengawal aktiviti penyeludupan dan mengekang pencerobohan.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri itu bersedia untuk bekerjasama penuh dengan Persekutuan dalam penyelesaian isu sempadan ini, khususnya dalam urusan pengambilan tanah yang di pesisir Sungai Golok berkait dengan pembangunan zon keselamatan, jika perlu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan pihak berkuasa, terdapat banyak kawasan di sepanjang sempadan negeri ini digunakan oleh individu, termasuk stor di tepi sungai yang dipercayai digunakan untuk aktiviti haram seperti penyeludupan minyak.

Penduduk yang melihat sempadan negara yang hanya beberapa meter terpisah dengan sungai Golok di Rantau Panjang.

"Banyak struktur yang dibina di atas tanah milik persendirian yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas kerana tanah itu berstatus hak milik.

Iklan

"Jika mahu diambil alih, kerajaan perlu membayar pampasan dan ini adalah bidang kuasa Persekutuan,” katanya ketika ditemui di Majlis Makan Malam Meraikan pemain industri pelancongan dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam Tahun 2025 di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, malam tadi.

Beliau menegaskan bahawa kelewatan menyelesaikan isu sempadan ini boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi negeri, terutama apabila berlaku aktiviti penyeludupan.

Iklan

"Kelantan antara negeri yang terkesan dengan masalah penyeludupan.

"Kita perlukan penyelesaian segera, termasuk meneliti semula status tanah-tanah yang terlibat dan jika perlu untuk pengambilan tanah bagi tujuan keselamatan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata, kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu mempercepatkan usaha ini, termasuk menetapkan sempadan yang lebih jelas serta mewujudkan zon penampan bagi mengawal pergerakan rentas sempadan secara tidak sah.

"Apabila ada zon penampan yang jelas, pihak berkuasa dapat meningkatkan kawalan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Kelantan memberitahu memerlukan RM44.7 juta untuk pengambilan balik tanah penduduk di kawasan sempadan Sungai Golok bagi pembinaan tembok keselamatan dan zon penampan.