Video dakwaan skandal rasuah tiada kredibiliti, bersihkan nama ADUN Sabah

Iklan
Yusof dan Rubin.

KOTA KINABALU - Kenyataan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung video yang mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dengan rasuah secara tidak langsung memberi gambaran bahawa nama wakil rakyat berkenaan telah dibersihkan.

ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pihaknya sebelum ini memang menyerahkan perkara itu kepada pihak SPRM untuk siasatan lanjut.

Iklan
Iklan

"Itu sudah selesai, maknanya betul lah tu. Kita nak percaya siapa lagi? Sebelum ini saya telah katakan kita serah kepada SPRM dan SPRM sudah buat pengumuman, jadi maknanya tohmahan dan tafsiran negatif itu sudah terjawab.

"Jadi tidak ada isu lagi, kita buat kerja macam biasa. Saya tidak mahu bincang lagi, kita mahu kerja, kita mahu tutup kes itu.

Iklan

"Ya (bersihkan nama), kami semua dan memang dari awal kita tahu benda-benda ini (fitnah). Cuma sebab disemasukkan perkataan rasuah itu saja, jadi saya kata siasatlah dan sekarang sudah terbukti," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Beliau dalam pada itu menyifatkan pihak yang masih mengungkit kes tersebut adalah individu yang mempunyai pemikiran toksik.

Iklan

"Ini semua jenis pemikiran toksik, dendam dan dengki. Jadi rakyat harus menilai siapa pemimpin yang berfikiran toksik ini.

"Rakyat mahu pemimpin yang rasional, melihat jauh ke hadapan, kita mahu rakyat itu bersama-sama membangun bukan meracun rakyat untuk membuat sesuatu yang tidak rasional," katanya.

Sementara itu, ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang pula menganggap sejak dari awal tiada sebarang kesalahan yang dibuat menerusi video yang ditularkan mengaitkannya dengan rasuah.

"Dari awal memang saya tidak melihat yang apa-apa kesalahan saya dari segi jenayah ataupun rasuah, sebab perbincangan itu saya tidak ada ambil apa-apa wang sama ada melalui ejen ataupun siapa-siapa.

"Syukur apabila pihak berkuasa mendapati tidak ada apa-apa kesalahan dan tidak ada integriti dalam video itu. Jadi ia akan dapat dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia bahawa semua ini adalah perbuatan yang sangat jahat kepada kami.

"Jadi diharap ini tidak akan berlaku di masa akan datang dan saya yakin bahawa SPRM telah pun menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.

SPRM baru-baru ini memaklumkan baru sahaja selesai merakam keterangan lima saksi termasuk seorang ahli politik dari Sabah berhubung siasatan dakwaan skandal rasuah melibatkan ADUN di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, video yang disiarkan dari sebuah portal telah dikemukakan kepada bahagian forensik SPRM.

Menurutnya, laporan menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana disunting serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti.