Paijang selamat tiba di Makkah tunai umrah

Iklan
Ahmad Nor Al Faizan bersama dua anak, Nurul Farhana dan Ahmad Faris tiba di tanah suci pada Selasa.

KEMAMAN - Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang sebelum ini tular akibat dipukul sekumpulan individu dalam kejadian di pasar pagi dekat Padang Astaka Chukai di sini, selamat tiba di Makkah untuk menunaikan umrah.

Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih dikenali sebagai Paijang selamat menjejakkan kaki di tanah suci bersama dua anaknya, Nurul Farhana, 21, dan Ahmad Faris, 10.

Iklan
Iklan

Perkembangan itu dikongsikan menerusi hantaran video di laman Facebook syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd pada Selasa.

Tangkap layar video dari facebook Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd menunjukkan Ahmad Nor Al Faizan (kiri) bersama dua anak selamat tiba di tanah suci Makkah pada Selasa. Foto Facebook Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd

Menurut Ahmad Nor Al Faizan, dia bersama dua anaknya berangkat ke tanah suci itu jam 2.30 pagi pada Isnin.

Iklan

Bapa kepada lima anak itu turut menyatakan keterujaan kali pertama menunaikan umrah yang ditaja Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd dan berharap agar kesihatannya bertambah baik selepas pulang ke tanah air.

Ahmad Nor Al Faizan (dua dari kanan) bersama anaknya, Ahmad Faris. Foto Facebook Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd

"Ini kali pertama saya berpeluang untuk menunaikan umrah dan kali pertama juga melalui pengalaman menjejak kaki ke luar negara.

Iklan

"Saya harap dapat diberikan kesihatan yang baik sepanjang mengerjakan umrah. Saya juga mahu berdoa di tanah suci agar ALLAH kurniakan kesihatan yang bertambah baik kepada saya dan ahli keluarga saya.

"Semoga saya dan anak-anak dikurniakan umrah yang mabrur dan semoga ALLAH SWT kabulkan segala doa saya," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Mak Chili di sini baru-baru ini.

Jelasnya, dia sepatutnya ditemani isteri, Faridah Abdul Karim, 44, dan anaknya, Mohd Fakhrie, 19, namun disebabkan beberapa kekangan mereka tidak dapat turut serta.

Sementara itu, anaknya, Nurul Farhana berkata, dia gembira dan teruja dapat bersama dengan bapanya menunaikan umrah.

"Alhamdulillah, di sebalik rezeki abah yang dapat tajaan, turut terselit rezeki saya.

"Saya tak sangka dapat tunaikan ibadah umrah pada usia yang masih muda dan ia ditaja pihak yang baik hati," katanya.