Rampasan kokain terbesar di Lapangan Terbang New Zealand

Iklan
Kastam New Zealand berjaya merampas 101 kilogram kokain yang dianggarkan bernilai NZ$35.4 juta dari sebuah penerbangan Hawaiian Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland - Foto: Agensi

WELLINGTON - Kastam New Zealand merampas kira-kira 101 kilogram kokain, rampasan terbesar jabatan itu di lapangan terbang setakat ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, Kastam memaklumkan bahawa pegawainya mengenal pasti beberapa beg yang tiba menerusi penerbangan Hawaiian Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan, pegawai kastam menemukan 85 bongkah bahan yang dibalut dengan plastik pembungkusan hitam dan jernih. Ujian awal mengesahkan ia sebagai kokain," menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan turut mendedahkan bahawa dadah terbabit dianggarkan bernilai NZ$35.4 juta (AS$20.2 juta) di pasaran dan boleh menyebabkan sehingga NZ$37.8 juta kerugian sosial serta kos kepada negara.

Iklan

Pengurus Operasi Sempadan Kastam Dana McDonald memuji rampasan itu sebagai bukti"ketelitian dan kecekapan" pegawai kastam.

"Kami berusaha keras untuk menyekat bekalan dadah dengan matlamat menjejaskan keuntungan jenayah, mengurangkan permintaan pengguna dan menggagalkan usaha mereka mengeksploitasi komuniti New Zealand."

Iklan

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan berterusan rampasan dadah di Lapangan Terbang Auckland sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, pegawai kastam di Lapangan Terbang Auckland merampas lebih 183 kilogram dadah, sekali gus menekankan peranan penting kami dalam melindungi New Zealand serta persekitaran operasi," katanya. - Bernama