PARIT - Dua pelajar sekolah dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Perak dekat Kampung Tepus di sini pada Isnin.
Maklumat kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Parit pada jam 4.21 petang melibatkan remaja lelaki masing-masing berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, semasa kejadian, mangsa dikatakan cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam sungai.
"Operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan kekuatan tujuh anggota menggunakan bot aluminium.
"Penduduk kampung menggunakan bot nelayan turut membantu operasi pencarian di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Pulau Pangkor telah digerakkan membantu operasi.
"Keadaan cuaca ketika ini mendung dengan arus air sungai deras.
"Setakat 6.30 petang, kedua-dua mangsa belum dijumpai," katanya.