KUALA LUMPUR – Empat ahli Parlimen blok kerajaan merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam kes hukuman mati ke atas rakyat Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman yang dijadual dilaksanakan di Singapura, Khamis ini.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, pihaknya berharap Kerajaan Malaysia memohon agar Kerajaan Singapura menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut memandangkan kertas siasatan kes itu telah dibuka polis di negara ini.
"Kami berpendapat bahawa Pannir hanyalah ‘keldai dadah’ dan tidak patut digantung mati sedangkan sindiket dadah di luar masih bebas dan barangkali sedang menyusun strategi baharu merekrut mangsa dari Malaysia untuk membawa bungkusan merentas sempadan tanpa mengetahui kandungannya.
"Memandangkan maklumat dan kerjasama yang telah diberikan Pannir mustahak serta penting dalam proses siasatan di Malaysia, maka kami merayu supaya Singapura tidak melaksanakan hukuman mati terhadap Pannir,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran; bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthurri Patto dan adik Pannir, Angelia Pranthaman.
Turut serta sembilan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Pannir yang kini berusia 30 tahun disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati mandatori kerana bertindak sebagai penghantar dadah dengan membawa 51.84 gram heroin ke Singapura pada 2017 selepas ditahan di pos pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.
Ramkarpal berkata, mereka berharap Pannnir dibawa pulang ke Malaysia untuk meneruskan pemenjaraannya supaya dapat memberi maklumat dan memudahkan siasatan kes tersebut seperti tindakan yang dilakukan di negara jiran, Indonesia.
"Seperti yang dapat diperhatikan di Indonesia, tujuh banduan hukuman mati dihantar pulang ke negara masing-masing iaitu lima warga Australia serta masing-masing seorang wanita dari Filipina dan lelaki dari Perancis.
"Dalam rujukan ini, wanita Filipina, Mary Jane Veloso telah memberikan maklumat kritikal yang membantu pihak polis Filipina menahan dalang sindiket dadah,” ujarnya.
Katanya, memandangkan Mary Jane telah membantu dalam siasatan polis maka kerajaan Indonesia telah menghantarnya pulang ke Filipina sebagai seorang banduan hukuman mati dan sekarang wanita terbabit sedang menjalani tahanan di Pusat Tahanan Wanita di Filipina, bukan dibebaskan secara automatik.
"Kami menyokong usaha kerajaan Malaysia, seperti Singapura yang memandang serius akan musibah pengedaran dadah di negara dan di rantau ASEAN serta sedang giat memburu dalang sindiket dadah yang bertanggungjawab memusnahkan masyarakat dan komuniti.
"Namun, menggunakan hukuman mati terhadap keldai dadah dalam transaksi jutaan ringgit ini oleh sindiket yang masih bebas bermaharajela tidak wajar digunakan,” tegasnya.