'Pastikan projek pembangunan ikut jadual' - Hajiji

Iklan
Hajiji (dua dari kanan) meninjau perkembangan Rumah Mesra SMJ yang dilaksanakan di kawasannya di DUN Sulaman, Tuaran.

TUARAN - Semua wakil rakyat dan pemimpin akar umbi di negeri ini digesa terus memantau dan memastikan projek pembangunan di kawasan masing-masing disiapkan mengikut jadual.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu supaya Ketua Kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mengambil sikap yang lebih proaktif.

Iklan
Iklan

"Saya telah beritahu mereka untuk merancang dan melihat apa keperluan rakyat. Jadi Ketua Kampung dan JKKK mesti bersikap proaktif dalam hal ini,” katanya selepas melawat tapak projek Rumah Mesra SMJ dan projek kecil di sini pada Isnin.

Bercakap mengenai projek Rumah Mesra SMJ, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu berkata, pelaksanaannya di seluruh negeri secara keseluruhan adalah memuaskan.

Iklan

"Mereka yang layak menerima Rumah Mesra SMJ adalah golongan yang benar-benar memerlukan.

"Jadi ini adalah projek berimpak tinggi yang perlu diberi keutamaan,” katanya.

Hajiji (kanan) sempat beramah mesra dengan rakyat ketika lawatannya di jeti Serusup-Penimbawan yang telah siap dibina di Kampung Serusup, Tuaran.

Iklan

Sebelum itu, beliau sempat meluangkan masa melawat Kampung Lok Batik, Kampung Pendamai, Kampung Tambalang, Kampung Indai dan Kampung Serusup untuk meninjau perkembangan projek di kawasan berkenaan.

Ini termasuk projek menaik taraf jalan raya di Kampung Lok Batik dan Kampung Pendamai, pembinaan Rumah Mesra SMJ di Kampung Indai dan Kampung Serusup, serta pembinaan parit di Kampung Tambalang.

Beliau mengakhiri lawatan itu di jeti Serusup-Penimbawan yang telah siap dibina di Kampung Serusup.