Kelas kabin teknologi IBS tangani sekolah padat - Fadhlina

Iklan
Fadhlina ketika meninjau bilik darjah di SK Taman Pelangi Semenyih pada hari pertama persekolahan sesi akademik 2025/2026 pada Isnin.

SEMENYIH - Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM69 juta bagi menyediakan kelas yang menggunakan kabin jenis Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai langkah jangka pendek dalam menangani isu sekolah padat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penggunaan kabin menggunakan teknologi itu telah dilaksanakan di Selangor melibatkan 301 bilik darjah di 95 sekolah.

Iklan
Iklan

"Jangan bayangkan kabin (yang digunakan) kontraktor itu, bukan (seperti itu), kita sudah ubah dan sesuaikan untuk jadikan kabin berkenaan lebih kondusif.

"Selain itu melibatkan juga dua sesi persekolahan seperti yang telah diamalkan di beberapa buah sekolah," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan sempena hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih di sini pada Isnin.

Iklan
Fadhlina ketika meninjau hari pertama persekolahan sesi akademik 2025/2026 di SK Taman Pelangi Semenyih pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Dr Jafri Abu.

Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan, KPM turut melaksanakan beberapa intervensi jangka pendek lain termasuk penyuraian murid di sekolah.

Iklan

"Intervensi (jangka pendek) kita ada pelbagai antara lain termasuk kaedah penyuraian di kelas dan sekolah lain.

"Ini sebenarnya memerlukan komitmen ibu bapa, melibatkan juga dua sesi (persekolahan) misalnya sekolah ini (SK Taman Pelangi) kerana permintaan agak tinggi.

"Jadi secara keseluruhannya, pendekatan ini dapat menyelesaikan sementara menunggu pembinaan sekolah-sekolah baharu yang lebih kondusif untuk masa hadapan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu memaklumkan, sebanyak 17 sekolah baharu akan dibuka tahun ini, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.

"Kita ambil maklum dan beri sepenuh komitmen untuk selesaikan isu-isu seperti sekolah padat dan sebab itu dalam dua belanjawan (sebelum ini) Kerajaan Madani telah menambah (peruntukan) berkaitan pembinaan sekolah baharu.

"Sebelum ini, terdapat 44 sekolah (baharu) dalam Belanjawan 2025 dan 26 sekolah dalam belanjawan sebelum ini (2024).

"Pembukaan dan pembinaan sekolah baharu ini mengambil kira keprihatinan serta perkara sering dibangkitkan oleh masyarakat berkaitan dengan sekolah padat," ujarnya.