'Berniaga juga boleh berdakwah'

Iklan
Mohammad menunjukkan sandwic yang ditawarkan La Nuestra Kitchen SP.

SUNGAI PETANI -"Ramai persoalkan kenapa tak jadi ustaz tetapi jual sandwic?"

Itu kata-kata pemilik La Nuestra Kitchen SP, Mohammad Othman, 36, apabila sering disoal rakan-rakan tatkala mengetahui latar belakang beliau.

Iklan
Iklan

Graduan lepasan Ijazah Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar ini membuat keputusan berniaga sandwic untuk meneruskan kehidupan dan menyara keluarga.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, ketika dia baru memulakan perniagaan sandwic di Bertam, Pulau Pinang sekitar tahun 2016 bersama rakan kerana tidak mahu membazir masa dari terus menunggu peluang pekerjaan berkaitan jurusan yang diambil.

Pelanggan menikmati hidangan sandwic disediakan La Nuestra Kitchen SP.

Iklan

Beliau bagaimanapun tidak mengendahkan pandangan negatif dan menepis perasaan rendah diri apabila dibandingkan dengan rakan lain yang sudah memperoleh pekerjaan tetap, namun menganggap cabaran itu sebagai ujian dari ALLAH SWT sekali gus bermatlamat meningkatkan ekonomi ummah.

"Berniaga juga salah satu sunah Rasulullah SAW, matlamat dalam perniagaan adalah seperti ibadah lain dalam Islam iaitu mencari keredaan ALLAH SWT dengan berbuat kebajikan, bukan mengaut keuntungan semata-mata.

Salah satu sandwic yang disediakan La Nuestra Kitchen SP.

Iklan

"Pemikiran skeptikal bahawa lulusan agama perlu bekerja dalam bidang yang sama perlu diubah sebaliknya menjelaskan bahawa dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai cara termasuk melalui perniagaan,” katanya

Mohammad berkata, pengalaman membuka Kafe Kedah yang menyediakan masakan Melayu kepada pelajar Malaysia di asrama penginapan semasa dalam tempoh pengajian selama lima tahun di universiti sedikit sebanyak diguna pakai dalam perniagaan sandwic.

Sandwic La Nuestra Kitchen SP yang ditempah dalam kuantiti banyak akan dihantar menggunakan kotak.

"Bila dah terjun dalam dunia perniagaan, saya akan buat sehabis baik. Untuk penyediaan sandwic pula, saya akan memastikan bahan yang digunakan adalah segar, premium dan berkualiti.

"Kami turut mengamalkan konsep sedekah di mana setiap 10 kotak sandwic yang ditempah, akan diberikan sekotak sandwic percuma,” jelasnya.

Selain sandwic, La Nuestra Kitchen SP turut menyediakan minuman untuk pelanggan.


Pakej Super Combo yang disediakan di La Nuestra Kitchen SP.

Menurut Mohammad, tanggapan sesetengah pihak bahawa sandwic adalah snek atau makanan ringan, perlu diubah kerana hidangan itu kini menjadi pilihan bagi individu yang mengamalkan gaya hidup sihat tanpa mengabaikan pengambilan menu berkhasiat.

"Di dalamnya kita letakkan hirisan ayam, tuna atau apa-apa pilihan mengikut cita rasa penggemar dan tidak hairanlah kini ia makin mendapat permintaan untuk sebarang majlis atau syarikat korporat serta sesuai untuk semua lapisan umur.

"Alhamdulillah pada 2022, cawangan baru, La Nuestra Kitchen SP di Cinta Sayang Resort Homes Sungai Petani, Kedah diuruskan saya sepenuhnya dengan 14 jenis sandwic ditawarkan dan sembilan menu sampingan dengan harga berpatutan,” katanya.

Sandwic La Nuestra Kitchen menjadi pilihan pelanggan terdiri daripada kakitangan awam, swasta dan syarikat korporat.

Menceritakan istilah 'La Nuestra Kitchen' yang diambil dari Bahasa Sepanyol bermaksud 'dapur milik kita', akibat itu dia sering mendapat pertanyaan tentang status halal sandwic yang disediakan.

Bagaimanapun, Mohammad menjelaskan, penggunaan setiap bahan yang digunakan dalam menu berkenaan sudah pasti dari sumber yang bersih dan halal yang menjadi keutamaan.

"Halal itu pasti. Sebab itu yang kita utamakan untuk peroleh keberkatan dan keredaan ALLAH SWT,” katanya.