Pesakit skizofrenia perlu dihalang daripada memandu

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan kereta Axia pusing beratus kali di bulatan

SHAH ALAM – Penyakit mental terutamanya yang serius seperti skizofrenia boleh mengakibatkan pesakit mengalami halusinasi dan delusi sehingga tidak boleh membezakan keadaan realiti atau sebaliknya.

Pakar Psikiatri, Dr Hazli Zakaria berkata, disebabkan itu pesakit mental yang sedang mendapatkan rawatan dan belum pulih sepenuhnya perlu dihalang oleh ahli keluarga daripada memandu kerana tindakan tersebut bukan sahaja membahayakan nyawa pesakit sendiri bahkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Iklan
Iklan

Katanya, semasa mengalami episod akut atau serangan penyakit mental berkenaan, pesakit akan berhadapan dengan gejala-gejala psikosis seperti halusinasi dan delusi yang membuatkan mereka tidak dapat lagi mengawal fikiran, emosi dan perbuatan.

"Waktu ini amat penting untuk memastikan mereka tidak ada kesempatan untuk menggunakan alat-alat yang boleh mendatangkan bahaya. Bukan hanya pisau atau parang, kunci kereta pun perlu disembunyikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini pemandu kereta Axia berwarna putih yang dikatakan membuat pusingan beratus kali di Bulatan Mahkota, Kluang dari waktu pagi hingga malam yang videonya tular di media sosial disahkan mengalami penyakit skizofrenia.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an itu sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi penyakit terbabit.

Iklan

Hazli yang juga bekas Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia berkata, sekiranya pesakit mendapat rawatan optimum, mereka boleh mengawal fikiran, emosi dan perbuatan sama seperti orang lain sekali gus menuntut ahli keluarga menjadi sebahagian daripada pasukan perawat.

"Jadi komunikasi antara sesama ahli pasukan perawatan termasuk ahli keluarga patut ditambah baik lagi. Usaha untuk menambah pengetahuan dan literasi kesihatan mental perlu juga diteruskan dan dipertingkat,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, tidak adil sekiranya pesakit mental yang sudah mendapat rawatan dan keadaannya terkawal dihalang daripada memandu kenderaan kerana perkara itu menjadi satu keperluan yang tidak boleh dielak.

"Kebanyakan mereka memerlukan lesen memandu untuk bekerja. Kalau penyakit mereka terkawal, mereka tidak berisiko tinggi semasa memandu.

"Setiap pesakit berbeza, kita kena melihat dari satu kes ke kes yang lain dan tidak patut untuk membuat sesuatu peraturan tanpa memahaminya terlebih dahulu. Rawatan untuk mereka bukan hanya ubat tetapi ubat amat perlu bagi memastikan penyakit tersebut dapat dikawal,” tambahnya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar turut berpandangan, pesakit yang belum pulih dan yang tidak dirawat tidak harus diberi lesen atau tidak dibenarkan membawa serta mengendali jentera serta mesin yang berisiko kerana mereka berbahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Ujarnya, oleh itu ahli keluarga dan majikan perlu menggalas tanggungjawab sekiranya pesakit melakukan perkara yang mengancam nyawa mereka dan orang sekeliling.

"Jika berlaku kecuaian dan kemalangan disebabkan pesakit ini tidak diawasi, pihak keluarga atau majikan juga mesti dikenakan tindakan supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.