JOHOR BAHRU - Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kediaman yang diduduki sejak 30 tahun disimbah cat merah dipercayai perbuatan khianat oleh along.
Kejadian itu dikongsi pengguna Faceboook, Afzan Mohd Arif yang turut memaklumkan bahawa tiada ahli keluarga yang terlibat dengan pinjaman wang tanpa lesen.
"Dua hari lepas, rumah mentua saya di Johor kena simbah cat merah di pagar termasuk kereta ayah mentua yang berada dalam pagar.
"Apa yang lebih menakutkan, ada sekeping nota ugutan turut ditampal di pagar menyatakan 'This is first warning. Next burn your home'. Berderau darah. Siapa yang hantar? Kenapa rumah ini jadi sasaran?," katanya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Afzan memaklumkan, perkara tersebut mula disedari adik iparnya sekitar jam 9 malam Selasa dan ketika itu cat masih basah.
Ujarnya, dalam nota ugutan yang ditinggalkan terdapat nama peminjam, namun dia dan keluarga langsung tidak mengenali individu tersebut.
"Nama dalam nota bukan nama sesiapa dalam keluarga kami sebab si penghutang itu berbangsa lain. Tak ada sesiapa yang kenal pun dengan individu disebutkan.
"Dalam nota ada nombor telefon tetapi gagal dihubungi. Kemudian, isteri saya hantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai keadaan rumah dan kereta serta menggesa mereka untuk hubungi kami semula secepat mungkin," jelasnya.
Tambah beliau, sehari selepas kejadian along yang dikenali sebagai Darren telah menghubungi isterinya dan memaksa untuk membayar hutang tersebut jika tidak rumah akan dibakar.
Ujarnya, walaupun sudah dimaklumkan bahawa dia dan keluarga tidak mengenali si penghutang, namun along itu tetap bertegas dengan ugutan tersebut.
"Mereka paksa keluarga bayar SG$1,000 (RM3,300) baru nama akan dibuang dalam sistem dan akan baiki kerosakan,” katanya.
Menurut Afzan, bimbang akan keselamatan ibu dan bapa mertua, dia serta isteri bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian dan dimaklumkan bahawa ia merupakan modus operandi terbaru along.
Pada masa sama, dia turut berharap pihak berkuasa dapat menjalan tugas dengan baik dan menangkap semua individu yang terlibat dengan sindiket ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di Jalan Yahya Awal, disini, kira-kira jam 10.42 malam, pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, suspek masih belum dikenal pasti dan kes akan disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat.
"Mangsa menafikan terlibat dengan sebarang pinjaman dengan mana-mana along dan sudah tinggal di sana selama 30 tahun. Semasa kejadian, mangsa serta ahli keluarga tiada di rumah.
"Siasatan awal di lokasi mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTC) atau saksi awam yang melihat kejadian tersebut. Pihak polis juga sedang menyiasat dua nombor telefon berkaitan untuk mengesan suspek.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.