SHAH ALAM - Pelaksanaan Projek Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya bagi membolehkan pekerja ladang di lima kawasan di Selangor memiliki rumah sendiri selepas 26 tahun menanti membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.
Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin berkata, penantian lebih dua dekad itu hanya boleh diselesaikan oleh pemimpin yang mempunyai niat dan hasrat jujur untuk membela rakyat tertindas.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani sekali lagi telah membuktikan komitmen terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat biasa. Semalam (Sabtu) tercipta suatu sejarah di mana nasib pekerja ladang seramai 245 keluarga peladang, yang telah memperjuangkan hak mereka, hampir 26 tahun, untuk memperolehi sebuah rumah berjaya diselesaikan.
"Terima kasih juga kepada semua yang terlibat untuk membela nasib pekerja ladang-ladang tersebut sepanjang 26 tahun ini. Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa Anwar akan meneruskan agenda beliau untuk membela nasib rakyat biasa tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan status mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Anwar pada Sabtu melancarkan majlis pecah tanah bagi projek membabitkan kerjasama kerajaan persekutuan, kerajaan Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Berjaya Corporation Berhad itu yang dijangka siap menjelang suku pertama 2027.
Projek yang membabitkan pembangunan keseluruhan berjumlah RM75 juta tersebut turut menamatkan penantian kira-kira 245 peneroka estet getah di lima kawasan iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar.
Setiap kos kediaman dianggarkan RM300,000 seunit akan dijual pada harga RM45,000, dengan keseluruhan subsidi ditanggung kerajaan adalah dianggarkan RM58.8 juta.
Sementara itu, Manivanan menambah, pelaksanaan projek itu juga merupakan penyelesaian kepada isu perumahan pekerja ladang yang sering dibangkitkan setiap kali pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK).
"Pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Madani telah memberikan komitmen bahawa isu ini akan diselesaikan dalam masa terdekat. Hari ini terbukti bahawa janji yang diberikan kepada rakyat biasa khususnya kepada pekerja ladang di lima ladang tersebut, dikotakan," katanya.