JOHOR BAHRU - Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor yang ditangguhkan pada akhir tahun lalu, akan diteruskan pada 25 Mei depan.
Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kongres dijadualkan berlangsung selama sehari itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Menurut beliau, lokasi kongres tidak berubah mengikut jadual ditetapkan sebelum ini iaitu Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru.
"Kongres Nasional PKR di Johor Bahru kali ini akan menjadi tumpuan kerana ia berlangsung selepas sehari pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat diadakan.
"Selepas pemilihan berlangsung pasti akan ada muka-muka baharu. Kepimpinan baharu yang akan bantu Presiden ini akan ditampilkan ketika Kongres Nasional PKR di Johor Bahru," katanya yang juga Ahli Parlimen Tebrau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Tebrau bersama PKR Johor di Tebrau pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Taufiq Ismail dan Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.
Sebelum ini, kongres Nasional PKR 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Disember lalu di Persada Johor Bahru manakala Kongres AMK dan Wanita ditetapkan sehari sebelum itu di lokasi berbeza.
Pada 30 November tahun lalu, PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 selepas keputusan itu dicapai pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat parti, ekoran banjir di beberapa negeri, ketika itu.
MPP PKR ketika itu turut memutuskan satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti diadakan di Shah Alam pada 15 Disember 2024.