Peniaga akui bimbang, tapi tetap teruskan COD

Iklan
Nurllysha Balqis, Umairah, Aisyah

BATU PAHAT - Rata-rata peniaga makanan terutamanya wanita yang menjalankan perniagaan secara tunai semasa penghantaran (COD), mengakui bimbang dengan keselamatan mereka susulan insiden seorang peniaga makanan yang ditemukan maut di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur dipercayai akibat dibunuh pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan peniaga di sini masih meneruskan penghantaran COD, namun mereka lebih berhati-hati, terutamanya jika melibatkan jarak yang jauh hingga ada yang memilih untuk ditemani bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga, Aisyah Kamsin, 34, berkata, sebelum ini dia tidak pernah menyangka perkara sebegini boleh berlaku kepada seorang peniaga makanan.

"Kejadian ini membuktikan bahawa macam-macam perkara boleh berlaku, lebih-lebih lagi jika kita keluar untuk COD seorang diri.

Iklan

"Sebaiknya, semasa COD, kita tak perlu bergaya secara berlebihan kerana ia boleh menarik perhatian orang, contohnya memakai terlalu banyak barang kemas. Itu boleh menjadikan kita sasaran penjenayah.

"Selain itu, sekarang sudah ada pelbagai aplikasi telefon seperti GPS dan perkongsian lokasi yang boleh diaktifkan supaya ahli keluarga atau rakan tahu di mana kita berada,” ujarnya.

Iklan

Seorang lagi peniaga, Umairah Azmi, 18, mengakui dia turut berasa takut apabila membaca berita mengenai kematian seorang penghantar makanan wanita ketika melakukan COD.

"Memang takut sejak terbaca berita itu, jadi sekarang saya pastikan ada teman setiap kali keluar COD, tidak kira jauh atau dekat.

"Selain itu, kalau boleh, pelanggan perlu membuat bayaran penuh terlebih dahulu. Saya risau jika masih perlu mengambil wang semasa penghantaran kerana ia boleh mengundang risiko," katanya.

Dalam pada itu, Nurllysha Balqis Helmi, 22, berkata, buat masa ini dia cuba berfikiran positif ketika melakukan penghantaran COD, walaupun tidak dapat mengelak daripada berasa bimbang.

"Biasanya COD ini dihantar ke kedai atau individu, jadi memang ada sedikit kebimbangan, tapi buat masa ini, saya tetap buat penghantaran seperti biasa tanpa terlalu memikirkan perkara buruk.

" Namun, jika perlu COD ke tempat yang jauh, saya akan pastikan ada teman, tambahan pula jika penghantaran dibuat pada waktu malam.

"Di premis ini pun, kalau saya bersendirian, saya akan tutup awal. Jika perlu buka sehingga lewat malam, saya pastikan abang saya menemani," katanya.

Sementara itu, di Seremban, Negeri Sembilan kebanyakkan peniaga yang menggunakan kaedah tunai atau cash on delivery (COD) di sini memilih membawa teman dan berkongsi 'live location' kepada ahli keluarga masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Peniaga makanan, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 33 berkata, dia sentiasa mengingatkan dirinya sendiri untuk keluar COD membawa teman yang dewasa, tidak cukup sekadar ditemani anak kecil.

"Sekarang di aplikasi Whatsapp ada 'live location' jadi boleh aktifkan bermula dari keluar rumah sehingga selesai urusan. Masukkan dalam 'group family' dan rakan terdekat.

"Kongsikannya di banyak group pun tidak mengapa supaya lebih ramai yang peka tentang keberadaan kita," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ujarnya, selain 'live location' kongsi juga maklumat pelanggan terlibat semasa COD berlangsung dan menyediakan wang tunai.

Nurul Izzah, Nurulazma

"Pastikan juga apabila COD kita tidak memakai perhiasan sama ada emas tulen ataupun sebaliknya yang mungkin akan menarik perhatian orang sekeliling sekali gus mengundang kepada kejadian yang tidak diingini," katanya.

Senada dengan Nurulazma, peniaga kuih muih, Nurul Izzah Idris, 24 berkata, dia sentiasa membawa teman terutamanya ketika COD lokasi yang agak jauh dan pendalaman kampung.

"Kebiasaannya saya akan menggunakan jalan atau laluan yang tidak sunyi selain memastikan lokasi yang ingin dituju itu bukan kawasan sunyi.

"Tambahan pula pelanggan berkenaan bukan dikenali, memang bimbang lah. Lagipun penjenayah ini tidak kira tempat, kadang-kadang tempat ramai orang pun mereka tergamak melakukan jenayah," katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang wanita yang merupakan peniaga makanan maut dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada Jumaat.

Mangsa, Norshamira Zainal,37, yang menjalankan COD makanan dipercayai telah dipukul dengan objek keras sebelum mayat mangsa diletakkan di tepi Sungai Kuantan.